RSS

Pages

Friday, 12 October 2012

Erti Kemerdekaan Buat Penjajah : Runtuhnya Sebuah Peradaban

Dendam musuh-musuh Islam terhadap kejayaan Islam tidak pernah pudar, terutamanya sejak kekalahan mereka di dalam Perang Salib. Mereka senantiasa mencari ruang untuk menjatuhkan Daulah Islam dan menjauhkan umat dari pemikiran Islam. Setelah kekalahan mereka, pasukan Salib menyedari bahawa kekuatan Islam terletak pada kekuatan akidah yang dianut oleh umat Islam dan selama mana kaum Muslimin berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah, maka Khilafah tidak akan dapat dihancurkan. Inilah sebabnya di akhir abad ke 16, mereka mendirikan pusat misionari pertama di Malta dan menjadikannya sebagai markaz untuk melancarkan serangan misionari terhadap Dunia Islam. Inilah awal masuknya kebudayaan Barat ke Dunia Islam yang dilakukan para misionaris. Barat seterusnya meniupkan api nasionalisme dan patriotisme ke dalam tubuh umat sehingga pada tahun 1916, British berjaya memperalatkan agennya Sharif Hussein dari Mekah untuk melancarkan Pemberontakan Arab terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Pemberontakan ini berjaya dalam memisahkan tanah Arab dari Khilafah lalu menempatkan tanah itu di bawah mandat British dan Perancis.

Pemecahan wilayah Khilafah sebenarnya telah dirancang oleh golongan kuffar lebih awal melalui sebuah perjanjian rahsia antara British dan Perancis iaitu Perjanjian Sykes-Picot. Di bawah perjanjian itu, kaum kuffar telah membahagi-bahagikan tanah umat Islam dengan sewenang-wenangnya di mana Jordan, sebahagian Iraq dan wilayah kecil sekitar Haifa dibahagikan kepada British sementara Perancis diberikan kawalan ke atas Turki wilayah Selatan-Timur, utara Iraq, Syria dan Lebanon. Hingga kini, peta Timur Tengah yang ada pada kita masih berdasarkan garis sempadan yang dibuat pada perjanjian Sykes-Picot ini. Walaupun British dan Perancis sudah keluar dari bumi Timur Tengah, namun mereka telah memastikan agen-agen mereka dari pemimpin kaum Muslimin tetap menjaga batas sempadan palsu ini.

Tahun-tahun berikutnya yang menghampiri kehancuran Khilafah, British memainkan peranan utama dengan cara memastikan agennya Mustafa Kamal la’natullah menyempurnakan hasrat mereka. Dengan bantuan British, Mustafa Kamal berjaya menjadikan dirinya berkuasa di Turki, lalu dia mengobarkan perjuangan nasionalisme untuk ‘memerdekakan’ Turki dari Khilafah. Pada ahun 1922, Persidangan Lausanne diadakan oleh Menteri Luar British, Lord Curzon untuk membincangkan ‘kemerdekaan’ Turki. Turki ketika itu telah berada di bawah pendudukan pasukan sekutu dengan institusi Khilafah hanya tinggal nama sahaja. Selama persidangan, Lord Curzon menetapkan empat syarat sebelum mengakui kemerdekaan Turki iaitu (1) Penghapusan Khilafah secara total (2) Pengusiran Khalifah ke luar perbatasan (3) Perampasan asset-aset Khilafah (4) Pengisytiharan bahawa Turki menjadi sebuah Negara Sekular.

Inilah Erti Kemerdekaan Buat Penjajah

Pada hari Isnin tanggal 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), dunia telah dikejutkan dengan berita bahawa Mustafa Kamal secara rasminya telah menghapuskan Khilafah dan menggantikannya dengan sebuah republik Turki Sekular. Pada malam itu Sultan Abdul Majid II, Khalifah terakhir kaum Muslimin, dipaksa untuk mengemas barangnya dan beliau dikepung untuk masuk ke dalam kendaraannya serta dihalau keluar dari Turki pada pagi hari tersebut. Dengan cara ini, maka berakhirlah sebuah Daulah Islam yang telah memayungi dunia selama 1342 tahun. Sebuah Daulah yang kewujudannya dahulu telah dirintis oleh Rasulullah dan para sahabat dengan jiwa dan raga, dengan darah dan airmata. Pada tarikh inilah, lenyapnya sebuah Negara Islam yang asasnya dibangunkan oleh Rasulullah berdasarkan wahyu, runtuhnya sebuah peradaban dunia yang selama ini menyebarkan cahaya Allah di dunia dan membawa rahmat ke seluruh alam. Tanggal 28 Rejab inilah, kaum Muslimin telah kehilangan ibu yang selama ini menjaga mereka, perisai yang selama ini melindungi mereka. Bermula dari sini, maka kita menyaksikan darah dan airmata kaum Muslimin belum pernah kering membasahi bumi dek penderitaan dan kesengsaraan yang mereka alami.

Kesimpulan

Kini,daulah Khilafah telahpun lenyap. Kita tidak mahu selamanya meratapi kehilangan ini dan kita sama sekali tidak dituntut untuk hanya berdiam diri dan membiarkan pemergian ini. Sebaliknya kita mahu melakar kembali sejarah dunia dengan mengembalikan semula institusi politik agung umat Islam ini. Ingatlah bahawa adalah menjadi kewajiban setiap dari kita untuk mengikuti jejak langkah Rasulullah dan para sahabat yang telah menyerahkan hidup mereka berdakwah di jalan Allah dan berkorban jiwa dan raga mereka di dalam menubuhkan sebuah Daulah Islam. Inilah tanggungjawab yang Allah telah letakkan di atas bahu setiap Muslim, yakni kewajiban untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Daulah Khilafah.

Perjuangan menegakkan kembali Daulah Islam ini pastinya menuntut keikhlasan hati dan pengorbanan yang tinggi oleh setiap pengembang dakwah. Kita pastinya akan melalui segala ranjau dan liku yang dahulunya dilalui oleh para pendahulu kita. Perjuangan ini sudah barang pasti memerlukan pengorbanan masa, harta dan jiwa setiap Muslim.Namun, beban berat perjuangan penegakkan kembali Daulah Khilafah ini tentunya akan menjadi ringan dan akan terasa semakin ringan jika dilakukan secara bersama-sama.

No comments:

Post a Comment