RSS

Pages

Friday, 12 October 2012

Sistem Pemerintahan Islam Adalah Khilafah

Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan syari'at Islam dan mengembang dakwah Islam ke segenap penjuru dunia. Kata lain dari Khilafah adalah Imamah. Imamah dan Khilafah mempunyai makna yang sama. Bahkan banyak hadis sahih yang menunjukkan bahawa dua kata ini memiliki konotasi yang sama. Tidak ada satu nash syara' pun yang menunjukkan adanya konotasi yang berbeza, baik di dalam Al-Kitab mahupun As-Sunnah. Mendirikan Khilafah adalah fardhu bagi setiap Muslim di seluruh dunia. Melaksanakan penegakannya adalah tidak ubah seperti melaksanakan kefardhuan yang lain, yang telah difardhukan oleh Allah SWT bagi kaum Muslimin. Tuntutannya bersifat jazm (pasti), di mana tidak ada lagi pilihan atau penundaan dalam rangka menegakkannya. Mengabaikan pelaksanaannya merupakan kemaksiatan yang paling besar, di mana Allah SWT akan mengazab pelakunya dengan azab yang amat pedih.

Dalil tentang wajibnya melantik Khalifah bagi seluruh kaum Muslimin dinyatakan dengan jelas di dalam nas. Dalil dari As-Sunnah antaranya adalah sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Nafi' yang berkata,

“Umar pernah berkata kepadaku: 'Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, nescaya ia akan berjumpa dengan Allah di hari kiamat tanpa memiliki hujjah. Dan siapa sahaja yang mati sedangkan di lehernya tidak ada bai'at, maka matinya adalah mati jahiliyah”.

Nabi SAW telah menmfardhukan kepada seluruh kaum Muslimin agar di atas leher mereka terdapat bai'at. Beliau menyifatkan orang yang meninggal sementara di atas lehernya tidak terdapat bai'at, ia mati dalam keadaan mati jahiliyyah (berdosa besar). Dan bai'at itu hanya diberikan kepada Khalifah, bukan kepada yang lain. Hanya dengan adanya seorang Khalifah, maka di atas leher kaum Muslimin akan ada baiat baik mereka membai'atnya secara langsung ataupun tidak. Kerana itu, hadis di atas merupakan dalil atas wajibnya mengangkat seorang Khalifah.

Hisyam Bin Urwah meriwayatkan dari Abi Salih dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Setelahku akan ada para pemimpin di antara kalian. Maka ada yang baik kemudian berlalu dengan kebaikannya. Begitu pula ada yang jahat kemudian berlalu dengan kejahatannya. Maka dengari dan taatilah (perintah dan larangan) mereka, bila sesuai dengan kebenaran. Bila mereka berbuat baik, maka itu menjadi hak kalian (untuk mendapatkan kebaikannya). Dan apabila mereka berbuat jahat, maka itu adalah hak dan sekaligus kewajiban kalian (untuk mengingatkannya)."

Imam Muslim meriwayatkan dari Al A'raj dari Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda,

"Sesungguhnya imam itu adalah laksana perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung."

Imam Muslim juga meriwayatkan dari Abi Hazim yang berkata,

"Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun, pernah aku mendengarnya menyampaikan hadis dari Rasulullah SAW yang bersabda: 'Dahulu, Bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal, digantikan dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku. (tetapi) nanti akan ada ramai Khalifah'. Para sahabat bertanya: 'Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?' Baginda menjawab: 'Penuhilah bai'at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka."

Dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Siapa sahaja yang membenci sesuatu dari amirnya (Khalifah) hendaklah ia tetap bersabar. Sebab, siapa sahaja yang keluar (memberontak) dari penguasa sejengkal sahaja kemudian mati dalam keadaan demikian, maka matinya adalah seperti mati jahiliyyah."

Hadis-hadis di atas antara lain merupakan ikhbar (pemberitahuan) dari Rasulullah SAW bahawa akan ada para penguasa yang memerintah kaum Muslimin dan bahawa seorang Khalifah adalah laksana perisai. Sabda Rasulullah SAW bahawa "seorang imam itu laksana perisai" menunjukkan pemberitahuan tentang adanya makna yang membawa fungsi tertentu dari keberadaan seorang imam dan ini merupakan suatu thalab (tuntutan). Ini kerana setiap pemberitahuan yang berasal dari Allah SWT dan RasulNya, apabila ia mengandungi celaan (adz-dzam) maka yang dimaksud adalah tuntutan untuk meninggalkan (thalabu at- tarki) atau merupakan larangan (nahyi) dan apabila ia mengandungi pujian (al-madhu) maka yang dimaksud adalah tuntutan untuk melakukan perbuatan (thalab al-fi'li). Dan apabila pelaksanaan perbuatan yang dituntut itu menyebabkan tegaknya hukum syara', atau jika ditinggalkan mengakibatkan terabainya hukum syara', maka tuntutan untuk melaksanakan perbuatan itu bererti bersifat tegas (thalab jazim) yakni bermaksud wajib melaksanakannya.

Dalam hadis-hadis ini juga disebutkan bahawa yang memimpin dan mengatur kaum Muslimin adalah para Khalifah dan bukan yang lainnya. Ini menunjukkan tuntutan untuk mendirikan Khilafah. Salah satu hadis tersebut ada yang menjelaskan keharaman kaum Muslimin keluar (memberontak) dari penguasa. Semuanya ini menegaskan bahawa kegiatan mendirikan pemerintahan bagi kaum Muslimin statusnya adalah wajib. Selain itu, Rasulullah SAW telah memerintahkan kaum Muslimin untuk mentaati para Khalifah dan memerangi orang yang ingin merebut kekuasaan mereka. Perintah Rasul ini adalah perintah untuk mengangkat seorang Khalifah dan memelihara keKhilafahannya dengan cara memerangi orang-orang yang ingin merebutnya. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,

"Siapa sahaja yang telah membai'at seorang imam (Khalifah), lalu ia memberikan huluran tangan dan buah hatinya, hendaknya ia mentaatinya jika ia mampu. Apabila ada orang lain yang hendak merebutnya, maka penggallah leher orang itu."

Jadi, perintah mentaati imam (Khalifah) bererti pula perintah mewujudkan sistem keKhilafahannya. Sedangkan perintah memerangi orang yang merebutnya merupakan indikasi (qarinah) yang menegaskan secara pasti akan kewajipan melestarikan adanya pemimpin yang tunggal (Khalifah) di tengah-tengah kaum Muslimin.

Adapun dalil ijma' sahabat menunjukkan bahawa para sahabat telah bersepakat mengenai kewajipan mengangkat seorang pengganti Rasulullah SAW setelah baginda wafat. Mereka juga sepakat untuk mengangkat seorang Khalifah sepeninggalan Abu Bakar, Umar Bin Khattab dan Uthman Bin Affan. Ijma' sahabat yang menekankan peri pentingnya pengangkatan Khalifah, nampak jelas dalam kejadian di mana mereka menunda kewajiban mengebumikan jenazah Rasulullah SAW dan mendahulukan urusan pengangkatan seorang Khalifah, pengganti Nabi. Padahal, menguburkan mayat secepatnya adalah suatu tuntutan dan diharamkan atas kaum Muslimin menunda pengebumian tanpa sebab. Namun, sebahagian sahabat ternyata lebih mendahulukan urusan untuk mengangkat Khalifah berbanding pengebumian jenazah Rasulullah SAW. Sebahagian sahabat yang lain, yang tidak ikut dalam urusan mengangkat Khalifah ternyata tidak membantah penundaan urusan pengebumian jenazah Nabi SAW sampai dua malam, padahal mereka mampu mengingkari hal itu dan mengebumikan jenazah Nabi secepatnya. Fakta ini menunjukkan adanya kesepakatan (ijma’) mereka untuk segera melaksanakan kewajiban mengangkat Khalifah daripada menguburkan jenazah Nabi sendiri. Hal itu tidak akan terjadi, kecuali jika status hukum mengangkat seorang Khalifah lebih wajib dari pada menguburkan jenazah.

Demikian pula bahawa seluruh sahabat selama hidup mereka telah sepakat mengenai kewajiban mengangkat Khalifah. Walaupun sering muncul perbezaan pendapat mengenai siapa yang lebih layak untuk dipilih dan diangkat menjadi Khalifah, namun mereka tidak pernah berselisih pendapat sedikit pun mengenai wajibnya mengangkat seorang Khalifah, baik ketika wafatnya Rasulullah SAW mahupun ketika pergantian masing-masing Khalifah yang empat. Oleh kerana itu, ijma' sahabat merupakan dalil yang tegas dan kuat mengenai kewajiban mengangkat Khalifah.

Selain itu, menegakkan agama dan melaksanakan hukum syara' dalam semua aspek kehidupan dunia mahupun akhirat adalah kewajiban yang dibebankan atas seluruh kaum Muslimin, berdasarkan dalil yang qath'i tsubut (pasti sumber pengambilannya) dan qath'i dalalah (pasti penunjukan maknanya). Kewajiban tersebut tidak mungkin boleh dilaksanakan dengan sempurna kecuali dengan adanya seorang penguasa yang menerapkan Islam. Kaedah syara' menyatakan,

"Apabila suatu kewajiban tidak terlaksana kecuali dengan suatu perbuatan, maka perbuatan itu hukumnya adalah wajib."

Ditinjau dari kaedah ini, mengangkat seorang Khalifah hukumnya adalah wajib kerana Khalifahlah orang yang berkuasa melaksanakan hukum syara’ dalam seluruh aspek kehidupan.

Disamping itu, Allah SWT memerintah kepada Rasulullah SAW agar menerapkan hukum di tengah-tengah kaum Muslimin dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Perintah Allah kepada Rasul tersebut berbentuk tegas (thalaban jaziman). Allah SWT berfirman yang ditujukan kepada Rasulullah SAW,

"Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):48].

Dalam ayat lain,

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu" [TMQ al-Maidah (5):49].

Seruan/perintah untuk Rasulullah SAW juga merupakan seruan/perintah untuk umatnya, selama tidak ada dalil yang mentakhsis (mengkhususkan)nya. Dalam hal ini, tidak terdapat satu dalil pun yang mentakhsis perkara ini, maka dalil tersebut juga merupakan seruan/perintah kepada kaum Muslimin agar menegakkan pemerintahan mengikut apa yang diturunkan oleh Allah.

Allah SWT memfardhukan kepada kaum Muslimin untuk mentaati ulil amri atau para penguasa. Hal itu membuktikan bahawa ‘kewujudan’ ulil amri itu adalah wajib bagi kaum Muslimin. Allah SWT berfirman,

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu" [TMQ an-Nisa’(4):59].

Allah tentunya tidak memerintahkan untuk kita taat kepada ‘orang’ yang tidak ada. Ini membuktikan bahawa ‘mewujudkan’ waliyul amri (penguasa) itu hukumnya adalah wajib, yang bererti, ketika Allah memerintahkan ketaatan kepada waliyul amri, Dia juga memerintahkan agar mewujudkannya (jika ia tidak ada). Sedangkan adanya waliyul amri tersebut memiliki konsekuensi tegaknya hukum syara' dan berdiam diri tanpa mewujudkan waliyul amri membawa konsekuensi lenyapnya hukum syara'. Oleh yang demikian, hukum mewujudkan ulil amri (Khalifah) adalah wajib. Oleh kerana meninggalkannya membawa konsekuensi tidak terwujudnya hukum syara', maka hukum mengabaikannya adalah haram.

Dalil-dalil di atas semuanya menegaskan kewajipan mewujudkan pemerintahan dan kekuasaan bagi kaum Muslimin, sekaligus menegaskan wajibnya mengangkat seorang Khalifah untuk memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan. Kewajipan mengangkat Khalifah tersebut adalah demi melaksanakan hukum-hukum syara', bukan sekadar mewujudkan pemerintahan dan kekuasaan sahaja. Perhatikanlah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui 'Auf bin Malik,

"Sebaik-baik pemimpin kalian ialah mereka yang kalian cintai dan mereka pun mencintai kalian; mereka mendoakan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin kalian ialah mereka yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian; kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian". Ditanyakan kepada Rasulullah: 'Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi sahaja mereka?' Beliau menjawab: 'Jangan, selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam) di tengah-tengah kalian."

Hadis ini menegaskan akan adanya para pemimpin yang baik dan yang jahat, selain menegaskan keharaman memerangi mereka dengan senjata selama mereka masih menegakkan agama. Ini kerana "menegakkan solat" merupakan kinayah (kiasan) kepada “menegakkan agama dan sistem pemerintahan”. Dengan demikian, jelaslah bahawa kewajiban kaum Muslimin untuk mengangkat seorang Khalifah demi menegakkan hukum Islam dan mengembang dakwah merupakan suatu perkara yang tidak ada lagi syubhat (kesamaran) pada dalil-dalilnya. Di samping itu, hal tersebut termasuk suatu kewajiban yang difardhukan oleh Allah SWT bagi kaum Muslimin, yakni terlaksananya hukum Islam dan terpeliharanya kesatuan kaum Muslimin.

Berdiam diri terhadap kewajiban mengangkat seorang Khalifah merupakan suatu perbuatan maksiat yang paling besar. Ini kerana hal itu bererti berdiam diri terhadap salah satu kewajiban yang amat penting dalam Islam, di mana tegaknya hukum Islam (bahkan eksistensi Islam dalam kancah kehidupan) bertumpu kepadanya. Oleh kerana itu, seluruh kaum Muslimin akan berdosa besar bila berdiam diri terhadap kewajiban mengangkat seorang Khalifah. Namun apabila sebahagian kaum Muslimin melaksanakan kewajiban itu sedangkan sebahagian yang lain tidak melaksanakannya, maka dosa itu akan gugur bagi mereka yang telah berusaha (namun kewajipan itu tetap dibebankan atas mereka sampai berhasil diangkatnya seorang Khalifah). Ini adalah kerana menyibukkan diri untuk melaksanakan suatu kewajiban akan menggugurkan dosa atas ketidakmampuannya melaksanakan kewajiban tersebut. Hal ini kerana mereka telah (dan sedang) berusaha melaksanakan kefardhuan, namun keadaan memaksanya sehingga masih gagal menyempurnakan kefardhuan tersebut.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dalam aktiviti menegakkan Khilafah akan terus menanggung dosa sejak tiga hari setelah tidak adanya Khilafah (tiadanya Khilafah bermula sejak 28 Rajab 1342H / 3 Mac 1924). Dosa itu akan tetap dipikulnya hingga ke hari pengangkatan Khilafah yang baru. Ini kerana, Allah SWT telah mewajibkan kepada mereka suatu kewajipan tetapi mereka tidak mengerjakannya, bahkan tidak terlibat dalam usaha-usaha yang menyebabkan terlaksananya kewajipan tersebut. Oleh kerana itu, mereka layak menanggung dosa, layak menerima seksa Allah dan kehinaan baik di dunia mahupun di akhirat. Layaknya mereka menanggung dosa ini adalah suatu hal yang jelas dan pasti sebagaimana seorang Muslim layak menerima seksa kerana meninggalkan kewajipan-kewajipan lain yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Apalagi kewajipan menegakkan Khilafah merupakan punca kepada pelaksanaan kewajipan-kewajipan lain, punca penerapan syari'at Islam secara menyeluruh, bahkan menjadi punca eksistensi tegaknya Islam sehingga panji Allah dapat berkibar di negeri-negeri kaum Muslimin dan seluruh penjuru dunia.

Oleh kerana itu, tidak ada uzur (alasan) apapun bagi seorang Muslim di muka bumi ini untuk berdiam diri terhadap pelaksanaan kewajiban menegakkan agama yang telah difardhukan oleh Allah ini kepada mereka. Kefardhuan ini adalah di dalam bentuk menegakkan Khilafah dalam keadaan muka bumi ini belum ada Khilafah dan dalam keadaan tidak ada orang yang menegakkan hukum Allah dan dalam keadaan tidak ada orang yang menegakkan hukum-hakam agama untuk menyatukan seluruh jamaah kaum Muslimin di bawah panji La Ilaha Illa Allah Muhammadur Rasulullah. Sesungguhnya di dalam Islam tidak ada rukhshah (keringanan) sedikitpun yang membolehkan seseorang Muslim itu berdiam diri terhadap pelaksanaan kewajiban yang telah difardhukan oleh Allah SWT, sehinggalah kewajiban tersebut tertegak dan demi sesungguhnya, sistem pemerintahan Islam itu adalah sistem Khilafah, bukannya sistem demokrasi, republik, monarki, teokrasi, federasi atau yang lainnya [Nidzamul Hukmi Fil Islam, Taqiyuddin an-Nabhani]

No comments:

Post a Comment